Tak Takut Dibenci – Adeline Tsen

    Tak Takut Dibenci – Adeline Tsen

    KEBANYAKAN drama lakonan Adeline Tsen, 30, sering menampilkan dia sebagai wanita penggoda atau jahat dan karakter itu menyebabkan dia dibenci. Adeline tidak kisah dirinya dibenci kerana kebencian penonton merupakan kejayaan kepadanya dalam melakonkan watak antagonis, seperti lakonannya dalam drama Rindu Awak 200% sebelum ini. Jelasnya, untuk menjadi jahat bukanlah mudah kerana apa yang ditonjol itu bukanlah dirinya yang sebenar.

    “Sebenarnya susah tau nak berlakon jadi jahat ni. Saya sendiri tidak tahu kenapa sering diberi watak sebegitu. Sebagai pelakon yang masih baharu, saya tidak pernah menolak kerana bila ditawar watak antagonis, itu tandanya kebolehan saya dalam membawa watak itu diyakini pengarah.

    “Bagi saya apa sahaja watak yang ditawar, jangan ditolak kerana itu adalah rezeki kerana ini adalah sumber pendapatan. Saya hanya akan menolak kerana tawaran itu bertindih kerana saya tidak mampu untuk melakukan dua kerja dalam satu masa kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain,” jelasnya yang menyambut Tahun Baharu Cina di Kota Belud, Kota Kinabalu, Sabah.

    Dia yang berada di kampung halaman selama seminggu berkata, selain melakonkan watak jahat yang biasa-biasa sahaja seperti busuk hati atau penggoda, Adeline juga dambakan watak antagonis yang lebih mencabar seperti psiko.

    “Biarpun watak antagonis, saya suka kerana dek watak begitulah orang mengenali saya. Kalau bawa watak jahat, kita bebas untuk melakukan apa sahaja kerana ia berbeza dengan watak baik-baik sebab perlu titik beratkan soal kesopanan.

    “Sekarang ini saya tunggu tawaran untuk watak psiko kerana karakter begini memang sukar. Mana taknya, dalam beberapa saat saja orang itu boleh kelihatan ketawa, menangis, marah dan semua itu tidak dijangka. Watak begini memang mencabar dan itu yang saya nanti-nantikan,” jelasnya.

    Selain idam watak psiko, Adeline juga tidak sabar untuk menerima lebih banyak tawaran berlakon adegan aksi. Setakat ini, dia berkesempatan berlakon Genggam terbitan Platinum Walk Production tetapi filem yang mula menjalani penggambaran sejak 2013 belum ditayangkan.

    “Saya suka juga kalau ada tawan berlakon aksi kerana karakter begitu amat agresif. Dalam filem Genggam, kebanyakan aksi saya lakonkan sendiri. Itulah saya pun tak sabar nak tengok lakonan sendiri tapi hingga kini belum ada khabar berita bila ia akan disiarkan.

    “Satu lagi watak yang ingin saya lakonkan ialah sebagai orang kurang upaya (OKU). Watak begini nampak mudah tapi sebenarnya susah dan banyak perkara yang perlu diteliti untuk tampak hidup. Setakat ini saya terima apa sahaja tawaran kerana kalau terlampau memilih tak ada orang pula nak panggil saya berlakon,” katanya tersenyum.

    Dalam pada itu, Adeline Tsen yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Hotel Mania sebagai Emilia terbitan KRU Studio pada 2010 berkata selain berlakon, dia juga berhasrat untuk mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

    “Untuk tahun ini saya rancang untuk fokus pada bidang nyanyian pula. Sebenarnya berlakon dan menyanyi adalah dau bidang yang saya suka, cuma sebelum ini peluang saya lebih kepada lakonan. Kali ini saya nak menyanyi pula secara serius.

    “Mungkin ramai yang tidak perasan, sebelum ini saya pernah menyanyi lagu Kau Bagiku untuk lagu tema drama Antara Laut China Selatan. Drama 26 episod yang disiarkan di RTM pada 2013. Sebagai permulaan langkah serius dalam bidang nyanyian, saya bakal tampil dengan single baharu, awal Mac ini,” katanya yang lebih suka genre R & B dan soul.

    Sumber: Utusan Online