Steam Deck Sokong 14,023 Permainan

DILANCARKAN dua tahun lalu, Steam Deck Valve kini menyokong lebih daripada 14,000 permainan, dengan laman pemantauan SteamDB menyenaraikan 14,023 judul yang serasi dengan komputer permainan mudah alih tersebut.

Syarikat ini kini sedang mengkaji keseluruhan katalog Steam. Ia akan mengasingkan setiap permainan dengan penarafan (daripada empat, dalam jumlah total) untuk pemain mengetahui sejauh mana setiap judul akan berfungsi apabila dimainkan pada Steam Deck.

Daripada jumlah SteamDB, Valve telah memberikan penarafan “disahkan” kepada 4,607 permainan, yang bermaksud judul-judul ini berfungsi dengan baik pada Steam Deck. Sementara 9,416 lagi dianggap sebagai “boleh dimainkan”, di mana permainan-permainan ini “mungkin memerlukan sedikit pengaratan manual oleh pengguna untuk dimainkan”.

Dua penarafan atau kategori yang tinggal adalah “tidak disokong” bagi permainan yang tidak berfungsi pada alat ini, atau “tidak diketahui” bagi permainan yang masih menunggu semakan Valve.

Valve menjelaskan bahawa untuk permainan diluluskan, setiap satu mesti memenuhi empat keperluan, iaitu input, paparan, kesesuaian dan sokongan sistem.

Dalam setiap keperluan, terdapat ujian-ujian tertentu seperti sama ada permainan itu mempunyai sokongan penuh pengawal, ia harus menyokong resolusi lalai 1280×800 atau 1280×720 Steam Deck dan tiada amaran keserasian, antara lain.

Dengan keluaran lebih banyak permainan di Steam tahun ini, Valve masih perlu merungkai beberapa ribu judul untuk mengetahui yang mana akan berjalan dengan baik pada Steam Deck, tetapi jumlah semasa sepatutnya menyediakan lebih daripada cukup permainan bagi sesiapa yang menggunakan alat ini.

Leave a Comment